Friday, February 25, 2011

2 telinga 1 mulut


Pagi tadi sempat melabuhkan telinga mendengar motivasi pagi yang disampaikan ustad Pahrol Mohd Juoi, panelis majalah solusi dan juga pakar motivasi, sungguh dia seorang yang pandai bermadah, bahasanya disusun rapi sedap disantap halwa telinga, motivasi kali ini menegaskan tentang perihal mulut dan telinga, “lebih baik diam dianggap bodoh, dari bercakap memperlihatkan kebodohan” tersentap jiwa seketika mencerminkan diri bermuhasabah, aku ini bagaimana, sudah tabiat ku sering bercakap-cakap, kata-kataku adakah memberi manfaat kepada agamaku, atau memudaratkan sesuatu. sungguh sukar rasanya menyantuni kembali adab berdiam jika tidak dengan perlatihan diri hari-hari.
Kemudian disangkal lagi dengan madah bahasa. Orang yang banyak bercakap, merasa dia serba tahu, dan seringkali memekakkan telinga dari mendengar pendapat orang lain, Allahuakbar, aku lah orang tu. Dan kerana banyaknya dia bercakap akan bertambah riak,takkabur dan kesombangan seseorang. Nauzubillah, aku minta dijauhkan dari sifat itu. Sungguh aku takut sekali kerana bukanlah layak seseorang itu takkabur melainkan Allah rabbul a’la yang berhak. kerana kita hambaNya, Sering aku mengetuai perbincangan dan jarang mendengar pendapat orang lain, sedang idea dia lebih bernas. Lebih inovasi dan kreatif. Selalu aku menutup pemikiran kumpulan perbincangan untuk terus memikirkan idea-idea baru kerana mempertahankan yang aku punya (keputusanku). Hikmah disebalik penciptaan 2 telinga dan 1 mulut adalah kerana diajar untuk lebih mendengar dari bercakap. Apatah lagi yang sia-sia.
Jika kita memekakkan telinga, menidakkan keperluan orang lain,idea orang lain,menafikan kewujudan orang lain dalam berbincang dan diskusi. Pasti kita akan dibalas setimpal. Katanya lagi sambil bermadah bisa, “JIKA ANDA TIDAK MENDENGAR BISIKAN, APA YANG ANDA AKAN DENGAR ADALAH JERITAN”. Dengarlah bisikan, barangkali sahabat kita menegur kita dengan sayup dan hikmah, tapi telinga kita tuli dari ditujah nasihat, kemudian akhirnya dia menjerit baru kita sedar dan melakukan perubahan tapi jeritan itu mungkin datang dengan perkara yang kita tidak ingini. Dengarlah bisikan. Nasihat aku pada diriku.

No comments: